Karnival Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Se-Malaysia 2019 yang berlangsung di sini menghimpunkan penyertaan 1,577 orang peserta dari kalangan warga JKR seluruh negara dan syarikat-syarikat konsesi yang mengambil bahagian seperti Roadcare (M) Sdn Bhd, THB Maintanance Sdn Bhd dan Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd. Karnival itu mempertandingkan 10 acara sukan dan berlangsung selama tiga hari; 22 – 24 Februari 2019.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam teks ucapan perasmiannya yang disampaikan Menteri Belia Dan Sukan Datuk Frankie Poon Ming Fung di Stadium Likas berkata, karnival itu bukan semata-mata mencari kemenangan dan kejuaraan tetapi juga menjadi platform memupuk semangat kerja berpasukan di kalangan peserta.

Turut bersama pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) Datuk Muis Pico, Setiausaha Tetap (SUT) KPI Dr Ismail Charles, Ketua Pengarah JKR Malaysia Dato’ Sri Ir Dr Roslan Md Taha, Pengarah JKR Sabah Ir Richard Jomiji. Roadcare (M) Sdn Bhd telah menghantar atlet-atlet terbaik untuk menyertai dalam sukan Bola Sepak, Tenpin Boling dan Golf.