Kejohanan Sukan Kerja Raya 2018 (SKR 2018) kali yang ke-9 anjuran Kementerian Kerja Raya, JKR Negeri Perak dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah diadakan di sekitar Ipoh, Perak selama 4 hari bermula 14 haribulan November hingga 17 haribulan November 2018.

Pada kejohanan kali ini, Kontinjen PLUS telah berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kejohanan dengan meraih kutipan 4 emas, 5 perak dan 1 gangsa.

Penganjuran temasya sukan dwitahunan ini telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, manakala perasmian penutupannya oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Pada SKR 2018 kali ini, sebanyak 26 bilangan kontinjen telah turut serta dalam 16 acara sukan yang dipertandingkan dengan melibatkan seramai 1,585 orang peserta. Acara yang dipertandingkan adalah bola sepak, bola jaring, bowling, golf, badminton, bola tampar, sepak takraw, dart, karom, ping pong, catur, futsal, boling padang dan mountain bike.

Kontinjen Roadcare (M) Sdn Bhd telah menghantar sejumlah besar atlet termasuk pegawai-pegawai pengiring untuk menyertai sukan yang dipertandingkan seperti Bola Sepak 9-Sebelah, Tenpin Boling, Bola Jaring dan Golf.

Pasukan Bola Sepak 9-Sebelah Roadcare (M) Sdn Bhd telah menjuarai pingat emas setelah mengalahkan pasukan DAL HCM Sdn Bhd di peringkat akhir dengan jaringan dua (2) berbalas kosong (0).

Zool Ihsan Md Yunus (Ketua Pasukan Bola Sepak 9-Sebelah Roadcare (M) Sdn Bhd) telah dinobatkan sebagai Olahragawan SKR 2018 di atas pencapaian dan komitmen yang di tunjukkan dalam memastikan pasukan kendalian beliau berjaya melangkah ke peringkat akhir Bola Sepak 9-Sebelah tempoh hari.