YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), telah menyempurnakan Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi Di Bawah Program Bagi Mempercepatkan Penyenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor G1 hingga G4 Bagi Program Penyenggaraan Berkala Pavemen (BP) dan Berkala Bukan Pavemen (BPP) di Jalan Persekutuan Tahun 2026 (Zon Tengah/Timur).
Program ini merupakan inisiatif berterusan KKR dalam memperkasa kontraktor kecil tempatan menerusi pelaksanaan Program Memperkasa Kontraktor G1–G4 yang memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia. Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk melaksanakan 758 projek penyenggaraan yang merangkumi 81 kerja Berkala Pavemen (BP) dan 677 kerja Berkala Bukan Pavemen (BBP).
Bagi Zon Tengah/Timur yang melibatkan negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, sebanyak 385 kerja bernilai RM157.15 juta telah ditawarkan melalui proses cabutan undi yang dilaksanakan secara telus dan adil.
Proses cabutan undi tersebut dikendalikan oleh Jawatankuasa Cabutan Undi (JCU) bersama wakil kerajaan serta syarikat konsesi, Roadcare (M) Sdn. Bhd.
Skop kerja Berkala Pavemen (BP) melibatkan kerja teknikal seperti mill & pave, Cold In-Place Recycling (CIPR), kerja overlay serta pembinaan semula jalan. Manakala skop Berkala Bukan Pavemen (BBP) merangkumi kerja berkaitan keselamatan dan estetika jalan seperti mengecat garisan jalan, membaik pulih papan tanda, pembinaan road kerb serta menaik taraf sistem perparitan.
Pemilihan kontraktor dilaksanakan secara dalam talian berdasarkan rekod prestasi, pendaftaran sah dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), serta pemilikan Sijil Taraf Bumiputera (STB).
Bagi memastikan pelaksanaan projek memenuhi standard ditetapkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Roadcare (M) Sdn. Bhd. akan memantau pelaksanaan kerja secara rapi termasuk aspek pematuhan spesifikasi, kawalan kos, penyiapan mengikut tempoh ditetapkan serta keselamatan kawasan kerja. KKR menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap aspek kualiti dan keselamatan selaras dengan aspirasi Program MYJalan.
Inisiatif ini bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat dan memperkukuh kapasiti kontraktor Bumiputera, malah memastikan rangkaian Jalan Persekutuan terus kekal selamat, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat.