CAMERON HIGHLANDS – Jalan naik ke Mossy Forest kini lebih selesa selepas projek penyelenggaraan jalan berkenaan siap sepenuhnya akhir tahun lalu. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

CAMERON HIGHLANDS, 27 Jun – Pelancong yang berkunjung ke Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, di sini kini lebih selesa apabila jalan sepanjang lima kilometer ke pusat peranginan itu siap sepenuhnya.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, projek penyelenggaraan jalan naik ke tempat berkenaan siap sepenuhnya akhir tahun lalu dengan menggunakan simen.

Katanya, projek penyelenggaraan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands itu dibahagikan kepada dua fasa dan berjalan dengan lancar.

Menurutnya, selain membaiki kerosakan jalan, projek itu termasuk membaiki sistem saliran dan melebarkan jalan di beberapa tempat sepanjang laluan ke pusat peranginan tanah tinggi itu.

“Faktor kecerunan antara sebab jalan naik ke TER Mossy Forest mudah rosak dan setiap kali musim tengkujuh, hujan membawa bersama batu dan tanah hingga menyebabkan kerosakan jalan.

“Sebelum ini hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja mampu sampai ke tapak tempat meletak kenderaan TER Mossy Forest, namun selepas ini kenderaan kecil boleh sampai ke kawasan terbabit yang menjadi tumpuan pelancong.

“Pada hujung minggu dan cuti am, jumlah pelancong naik ke TER Mossy Forest bertambah dua hingga tiga kali ganda,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bercadang untuk menyediakan pengangkutan khas untuk membawa pelancong naik ke TER Mossy Forest, ini bagi mengelak berlaku kesesakan selain keselamatan.

Arifhadi berkata, perbincangan dengan beberapa pihak seperti pengusaha pelancongan di daerah ini akan diadakan tidak lama lagi bagi mencari jalan terbaik untuk membawa pelancong naik ke TER Mossy Forest.

“Kesesakan di kawasan letak kenderaan TER Mossy Forest berlaku terutama pada hujung minggu apabila pelancong naik mengunakan kenderaan sendiri.

“Ini memaksa kakitangan PHD Cameron Highlands menghadkan jumlah kenderaan naik ke kawasan TER Mossy Forest bagi menjamin keselesaan dan keselamatan,” katanya.