KUALA TERENGGANU, 15 Julai 2025 — Persidangan SOC 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel RAIA Kuala Terengganu dari 13 hingga 15 Julai 2025, menghimpunkan pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur negara secara mampan dan berdaya tahan.
Majlis perasmian persidangan telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan sektor pembinaan serta memperkukuh peranan JKR sebagai agensi peneraju pembangunan infrastruktur negara.
Bertemakan “JKR Mampan: Memacu Kelestarian MADANI”, SOC 2025 menjadi platform strategik untuk membincangkan hala tuju industri pembinaan yang lebih lestari, inovatif dan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Selain sesi persidangan dan perkongsian ilmu, program ini turut membuka ruang kepada pemain industri serta agensi berkaitan untuk mempamerkan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang pembinaan. Penganjuran ini secara tidak langsung memperkukuhkan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam mendukung agenda pembangunan negara yang lebih efisien, moden dan mampan.
SOC 2025 juga dilihat sebagai medium penting dalam memperluas jaringan kerjasama profesional, selain mempertingkat pertukaran idea serta amalan terbaik dalam kalangan warga JKR dan rakan strategik industri.